
KONSERT Mahabbah Gaza anjuran Rabbani Productions (M) Sdn Bhd dengan kerjasama PRM Global Vision Sdn Bhd yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu hampir mencapai matlamatnya dengan kehadiran hampir 20,000 penonton.
Biarpun lewat petang itu hujan gerimis membasahi bumi, ia tidak sesekali mematahkan hasrat dan semangat orang ramai datang bersama keluarga untuk menyaksikan konsert yang dijayakan kumpulan nasyid Rabbani, Inteam, Nowseeheart, Saujana dan Ummul Qura. Mereka semua datang dengan satu visi dan misi untuk menzahirkan rasa simpati terhadap penduduk Palestin yang kehidupan mereka tidak pernah aman serta tenteram angkara regim Zionis yang menyerang mereka tanpa mengira siang atau malam. Selagi ada menteri menyinari bumi dan selagi ada bintang bertaburan di dada langit, selagi itulah tentera Zionis akan terus membuat onar di bumi Palestin dengan hasrat untuk menghapuskan umat Islam. Oleh itu sebagai saudara seagama, sewajarnya kita melakukan sesuatu bagi membantu saudara kita di sana dalam apa cara sekali pun. Konsert itu bukan saja menyajikan hiburan menarik untuk halwa telinga, namun turut dilancarkan tabung kilat untuk mengisi Tabung Gaza. Pada malam itu jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul RM27,500. Konsert itu juga diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan. Tirai persembahan konsert dimulakan dengan bacaan surah An Nisa ayat 75 oleh Asri Ubaidillah yang juga seorang daripada anggota Rabbani. Antara makna ayat itu mengajak umat Islam berjihad ke jalan Allah S.W.T.
Seterusnya acara dimulakan dengan persembahan Raihan dengan lagunya Iman Mutiara dan We Will Not Go Down. Kumpulan Inteam pula menyampaikan lagu Hanya Takdir dan Saujana dengan lagunya, Patah Hati dan Pahlawan Gaza. Nowseeheart meneruskan konsert dengan menyanyikan lagu, Damai Yang Hilang.
Rabbani pula tampil dengan kumpulan Rabbani Junior menyanyikan lagu Di Pondok Kecil, Intifada dan Mahabbah. Tambah menarik apabila Ummul Qura mempersembahkan dua lagu dalam bahasa Arab.
Radio IKIMfm selaku radio rasmi untuk konsert itu juga menampilkan barisan penyampainya membacakan sajak mengenai pergolakan yang berlaku di Palestin. Turut menyampaikan bacaan sajak pada malam itu, Udesh dan Halim Yeoh. Juga diadakan segmen kenangan buat ketua kumpulan dan vokalis utama Rabbani, Allahyarham Asri Ibrahim yang kembali ke rahmatullah pada Ogos tahun lalu. Menutup tirai persembahan, semua menjayakan konsert itu menyanyikan lagu Bebaskan Palestin.
Sebelum itu, untuk lebih memahami apa yang berlaku di Palestin, penganjur turut menjemput Noor Azman Shamsudin iaitu seorang daripada sukarelawan Malaysia yang ditahan ketika menghantar bantuan makanan dan ubatan ke Palestin pada penghujung Mei lalu.
Cerita Noor Azman, selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Zionis, dia rasa seperti mati hidup semula. "Apabila saya sendiri ke sana, barulah saya mengerti apa yang dirasai penduduk Palestin. Dalam kamus hidup mereka bagaikan sudah terpadam perkataan aman dan bahagia. Lebih 60 tahun bumi kelahiran mereka bermandikan darah dan air mata. "Dengan apa yang berlaku di sana, kini lebih lima juta rakyatnya keluar dari negara itu mencari kehidupan yang lebih baik di negara lain. Lantaran itu kita mesti memainkan peranan untuk membantu saudara kita di sana. "Pada malam ini juga saya ingin melancarkan Kelab Life Line 4 Gaza yang mana 50,000 orang sudah menyatakan sokongan terhadap kelab ini. Kelab ini ditubuhkan untuk mengumpul seramai ahli yang boleh untuk menjalankan pelbagai aktiviti bagi membantu rakyat Palestin," katanya.
Sempena pelancaran kelab itu, Noor Azman menyerahkan lencana kelab yang pertama kepada Ahmad Maslan. Gembira dan terharu terhadap sambutan penonton pada malam itu, pada sidang media yang diadakan selepas berakhirnya konsert itu, Ahmad Maslan berharap Rabbani Productions dan PRM dapat meneruskan konsert itu ke negeri lain juga.
Katanya, langkah itu mudah-mudahan dapat menyemarakkan semangat perjuangan di hati seluruh masyarakat Islam negara ini.
"InsyaAllah saya akan mengutus surat kepada semua kerajaan negeri dan penaja agar konsert ini dapat diadakan di tempat mereka. Saya sangat gembira dengan sambutan penonton pada malam ini dan saya yakin konsert ini bakal mendapat sambutan hebat apabila ia diadakan di seluruh negara nanti," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PRM, Datuk Hashim Ismail juga sanggup untuk terus menaja konsert itu pada masa akan datang.
"Berlaku kejutan pada konsert ini kerana ramai yang menangis apabila melihat penderitaan penduduk Palestin yang dipaparkan di layar lebar. Dengan kejayaan pada malam ini dan dengan sokongan Ahmad Maslan sendiri, saya bercadang untuk mengadakan konsert ini tiga kali setahun dan destinasi seterusnya ke Kelantan," katanya. Wakil Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, selain penganjuran konsert itu, turut diadakan Karnival IKIM meraikan ulang tahun kesembilan stesen radio itu. Karnival selama tiga hari itu bermula 9 hingga 11 Julai lalu yang diadakan di pekarangan stadium itu.
"Selain konsert yang mendapat sambutan, kami juga berpuas hati dengan kunjungan orang ramai ke karnival itu. Sebanyak 80 gerai disediakan dengan menjual pelbagai barangan daripada pakaian, makan dan produk kesihatan. "Bukan keuntungan yang dicari, namun kesedaran kepada orang ramai untuk bersama-sama bersatu hati membantu saudara seagama baik dalam apa perkara pun termasuk dalam bidang perniagaan," katanya.
Tambah Azadan, selain terus sibuk dengan aktiviti seni, Rabbani juga bekerjasama dengan Tabung Haji Travel & Servives menganjurkan Pakej Umrah Awal Ramadan Bersama Rabbani, selama 13 hari (6 hingga 17 Ogos ini). Mereka yang berminat menyertai pakej itu boleh hubungi Ahmad Fuad di 016 6457821. Penyerahan tambang dan pasport untuk ke sana sebelum 20 Julai ini.
|